Kaum Madyam, kaumnya Nabi Syu'ib, adalah segolongan bangsa Arab  yang tinggal di sebuah daerah bernama "Ma'an" di pinggir negeri Syam.  Mereka terdiri dari orang-orang kafir tidak mengenal Tuhan Yang Maha  Esa. Mereka menyembah kepada "Aikah" iaitu sebidang padang pasir yang  ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Cara hidup dan istiadat  mereka sudah sangat jauh dari ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi  sebelum Nabi Syu’ib a.s.
Banyak orang di zaman kita beranggapan bahawa agama hanya  merupakan program-program yang kosong dan nilai-nilai akhlak semata.  Ini adalah keyakinan klasik dan salah. Pada hakikatnya, agama adalah  sistem dalam kehidupan dan pergaulan. Intinya ialah hubungan dengan  Allah s.w.t. Oleh kerana itu, usaha memisahkan antara masalah-masalah  tauhid dan perilaku manusia dalam kehidupan mereka sehari-hari bererti  memisahkan agama dari kehidupan dan mengubahnya menjadi adat- istiadat, tradisi-tradisi, dan acara-acara ritual yang hampa. Kisah Nabi  Syu’ib menampakkan hal yang demikian secara jelas. 
Allah s.w.t mengutus Syu’ib pada penduduk Madyan: 
"Dan kepada (penduduk) Madyan (kami utus) saudara mereka, Syu 'ib.  Ia berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada Tuhan  bagimu selain Dia.'" (QS. Hud: 84) 
Ini adalah dakwah yang sama yang diserukan oleh setiap nabi. Dalam hal  ini tidak ada perbezaan antara satu nabi dan nabi yang lain. Ia  merupakan dasar akidah dan tanpa dasar ini mustahil suatu bangunan  akan berdiri. Setelah peletakan bangunan tersebut, Syu’ib mulai  menyuarakan dakwahnya: 
"Dan janganlah kamu kurangi takaran dan timbangan. Sesungguhnya  aku melihat kamu dalam keadaan yang baik (mampu) dan  sesungguhnya aku khawatir terhadapmu akan azab hari yang  membinasakan (kiamat)." (QS. Hud: 84) 
Setelah menjelaskan masalah tauhid secara langsung, Nabi Syu’ib  berpindah pada masalah muamalah sehari-hari yang berkenaan dengan  kejujuran dan keadilan. Adalah hal yang terkenal pada penduduk Madyan  bahawa mereka mengurangi timbangan dan mereka tidak memberikan  hak-hak manusia. Ini adalah suatu kehinaan yang menyentuh kesucian  hati dan tangan sebagaimana menyentuh kesempurnaan harga diri dan  kemuliaan. 
Para penduduk Madyan beranggapan bahawa mengurangi timbangan  adalah salah satu bentuk kelihaian dan kepandaian dalam jual-beli serta  bentuk kelicikan dalam mengambil dan membeli. Kemudian nabi mereka  datang dan mengingatkan bahawa hal tersebut merupakan hal yang hina  dan termasuk pencurian. Nabi Syu’ib memberitahukan kepada mereka  bahawa beliau khawatir jika mereka meneruskan perbuatan keji itu  nescaya akan turun kepada mereka azab di mana manusia tidak akan  dapat menghindar dari seksaan itu. Perhatikanlah bagaimana campur  tangan Islam melalui Nabi Syu’ib yang diutus kepada manusia di mana ia  memperhatikan persoalan jual-beli dan mengawasinya: 
"Hai kaumku, cukupkanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan  janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka dan  janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat  kerosakan." (QS. Hud: 85) 
Nabi Syu’ib meneruskan misi dakwahnya. Beliau mengulang-ulangi  nasihatnya kepada mereka dengan cara yang baik dan mengajak ke jalan  yang baik, tidak ke jalan yang buruk; beliau menghimbau kepada mereka  untuk menegakkan timbangan dengan keadilan dan kebenaran dan  mengingatkan mereka agar jangan merampas hak-hak orang lain.  Merampas hak-hak orang lain itu tidak terbatas pada jual-beli saja,  namun juga berhubungan dengan perbuatan-perbuatan lainnya; beliau  memerintahkan mereka untuk menegakkan timbangan keadilan dan  kejujuran. Demikianlah seruan dari agama tauhid dan akidah tauhid di  mana ia selalu menyuarakan kejujuran dan keadilan. 
Agama selalu memerintahkan manusia untuk menjalin kerjasama sesama  mereka dalam kehidupan sehari-hari dengan cara-cara yang bijaksana  dan baik, baik menyangkut hubungan kerja, hubungan peribadi mahupun  hubungan lainnya. Al-Quran al-Karim mengatakan: "Dan janganlah kamu  merugikan manusia terhadap hak-hak mereka. "Dan kata as-Syai'  (sesuatu) dalam ayat tersebut diucapkan kepada hal-hal yang bersifat  materi dan yang bersifat non-materi (rohani) di mana masuk dalam  kategori itu perbuatan-perbuatan dan hubungan-hubungan yang  menghasilkan. Al-Quran melarang segala bentuk kezaliman, baik  kezaliman berkenaan dengan menimbang buah-buahan atau sayur- sayuran mahupun kezaliman dalam bentuk tidak memberikan  penghargaan terhadap usaha manusia dan pekerjaan mereka. Sebab,  kelaliman terhadap manusia akan menciptakan suasana  ketidakharmonisan yang berakibat pada timbulnya penderitaan, sikap  putus asa, dan sikap tidak peduli, sehingga pada akhirnya hubungan  sesama manusia berjalan tidak harmonis dan menimbulkan kegoncangan  dalam kehidupan. Oleh kerana itu, Al-Quran mengingatkan agar jangan  sampai ada manusia yang berbuat kerosakan di muka bumi: 
"Dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan  membuat kerosakan. Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik  bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah  seorang penjaga atas dirimu." (QS. Hud: 85-86) 
Yang di maksud al-'Atsu ialah sengaja membuat kerosakan dan bertujuan  untuk membuat kerosakan. Janganlah kalian membuat kerosakan di muka  bumi; janganlah kalian sengaja untuk menciptakan keonaran di muka  bumi. Apa yang ada di sisi Allah s.w.t adalah hal yang terbaik buat kalian  jika kalian benar-benar beriman. Kemudian Nabi Syu’ib memberitahu  kepada mereka bahawa ia tidak memiliki sesuatu kepada mereka; ia  tidak dapat menguasai mereka tidak juga ia selalu mengawasi mereka.  Beliau hanya sekadar seorang rasul atau utusan untuk menyampaikan  ajaran Tuhannya: 
"Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu. " (QS. Hud: 86) 
Dengan cara yang demikian, Nabi Syu’ib menjelaskan kaumnya bahawa  masalah yang mereka hadapi saat ini sangat penting dan sangat serius,  bahkan sangat berat. Beliau memberitahu mereka akibat yang bakal  mereka terima jika mereka membuat kerosakan. Selesailah bahagian  pertama dari dialog Nabi Syu’ib bersama kaumnya. Nabi Syu’ib telah  mengawali pembicaraan dan kaumnya mendengarkan. Kemudian beliau  berhenti dari pembicaraannya dan sekarang kaum membuka  pembicaraan: 
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, apakah agamamu yang menyuruh agar  kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak-bapak kami atau  melarang dan berbuat apa yang kami kehendaki tentang harta kami.  Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal  " (QS. Hud: 87) 
Para penduduk Madyan yang kafir mereka biasa merampok dan  menyembah al-Aikah, yaitu pohon dari al-Aik yang dikelilingi oleh dahan- dahan yang berputar di sekelilingnya. Mereka termasuk orang-orang yang  menjalin hubungan sesama manusia dengan cara-cara yang sangat keji.  Mereka suka mengurangi timbangan; mereka mengambil yang lebih  darinya dan tidak menghiraukan kekurangannya. Perhatikanlah semua itu  dalam dialog mereka bersama Syu’ib. Mereka berkata, "wahai Syu’ib  apakah agamamu yang memerintahkanmu...?" Seakan-akan agama ini  mendorong Syu’ib dan membisikinya serta memerintahnya sehingga ia  mentaati tanpa pertimbangan dan pemikiran. Sungguh Syu’ib telah  berubah dengan agamanya itu menjadi alat yang bergerak dan alat yang  tidak sedar. Demikianlah celaan dan tuduhan keji yang dialamatkan oleh  kaum Nabi Syu’ib kepadanya. Agama Syu’ib telah membuatnya gila dan  membuatnya nekad untuk memerintahkan mereka meninggalkan apa  yang selama ini mereka sembah dan disembah oleh kakek-kakek mereka.  Kakek-kakek mereka telah menyembah tumbuh-tumbuhan dan pohon- pohonan sementara agama Syu’ib memerintahkan mereka untuk hanya  menyembah Allah s.w.t. Kenekatan model apa dari Syu’ib ini? 
Dengan ejekan dan penghinaan ini, Nabi Syu’ib menghadapi dialog yang  terjadi dengan mereka. Kemudian mereka kembali bertanya-tanya  dengan penuh keheranan dan dengan nada mengejek: "Apakah agamamu  yang menyuruh agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapak- bapak kami." Tidakkah engkau sedar wahai Syu’ib bahawa agamamu ingin  mencampuri keinginan kita dan cara kita menggunakan harta kita?  Apakah hubungan keimanan dan salat dengan muamalah materi? 
Dengan pertanyaan ini, kaum Nabi Syu’ib mengira bahawa mereka  mencapai suatu tingkat kecerdasan. Mereka mengemukakan di  hadapannya masalah keimanan, dan mereka mengingkari adanya  keterkaitan antara perilaku manusia dan muamalah mereka serta  perekonomian mereka. Ini adalah masalah yang klasik; ini adalah usaha  untuk memisahkan antara ekonomi dan Islam di mana setiap nabi justru  di utus untuknya meskipun nama-nama mereka berbeza-beza; ini adalah  masalah kuno yang diungkap oleh kaum Nabi Syu’ib di mana mereka  mengingkari bahawa agama turut campur dalam kehidupan sehari-hari  mereka, perekonomian mereka dan cara mereka menggunakan harta  mereka. Mereka menganggap bahawa menginfakkan harta atau  menggunakannya atau menghambur-hamburkannya adalah suatu yang  tidak berhubungan dengan agama. Hal itu menyangkut kebebasan  peribadi manusia. Bukankah itu hartanya yang khusus lalu mengapa  agama turut campur di dalamnya? 
Demikianlah pemahaman kaum Nabi Syu’ib kepada Islam yang dibawa  oleh Nabi Syu’ib. Kami kira pemahaman demikian sedikit atau banyak  tidak berbeza dengan pemahaman banyak masyarakat di zaman kita  sekarang mereka menganggap bahawasanya Islam tidak memiliki kaitan  dengan kehidupan peribadi manusia dan kehidupan perekonomian  mereka. Oleh kerana itu, manusia dapat menggunakan harta mereka  sesuai dengan kemahuan mereka: "Sesungguhnya kamu adalah orang yang  sangat penyantun lagi berakal." 
Mereka ingin mengatakan kepada Nabi Syu’ib, seandainya engkau seorang  yang bijaksana dan memiliki pemikiran yang matang nescaya engkau  tidak akan mengatakan apa yang telah engkau katakan. Mereka kembali  mengejek Nabi Syu’ib dan merendahkan dakwahnya. Seandainya Anda  bertanya kepada kaum Nabi Syu’ib tentang pemahaman agama mereka  maka mereka pasti mengingkari bahawa agama adalah sebagai sistem  dalam kehidupan yang menjadikan hidup lebih mulia, lebih suci, lebih  adil dan lebih pantas manusia untuk menjabat sebagai khalifatullah di  muka bumi; seandainya Anda bertanya kepada mereka tentang agama  nescaya mereka memberitahumu bahawa ia hanya berupa kumpulan  nilai-nilai rohani yang baik yang tidak mewarnai kehidupan sehari-hari.  Dengan pemahaman seperti ini, agama hanya sekadar hiasan. Ini adalah  pemahaman yang menggelikan kerana Allah s.w.t mengutus para nabi  dan ajaran-ajaran yang mereka bawa bukan untuk perhiasan dan main- mainan.
Maha Suci Allah s.w.t dari semua itu. Allah s.w.t mengutus para nabi-Nya  dengan membawa sistem baru dalam kehidupan, yaitu sistem yang  mencakup nilai-nilai dan pemikiran-pemikiran yang itu semua tidak akan  bermakna jika tidak berubah menjadi suatu sistem dalam kehidupan  secara umum dan mengatur kehidupan secara khusus. Dengan  pemahaman seperti inilah agama menjadi mulai dan agama menjadi  benar adanya. Dan dengan asumsi seperti ini, kita memahami seberapa  jauh campur tangan agama dalam persoalan-persoalan kehidupan sehari- hari: dimulai dari hubungan-hubungan cinta sampai undang-undang  perkahwinan, bahkan cara mengambil keputusan hidup sampai sistem  dalam menginfakkan wang dan menggunakannya, juga sistem dalam cara  menggunakan dan mengagihkan kekayaan dan sebagainya. Jika manusia  memahami agama seperti ini maka jadilah agama sesuatu kebenaran.  Dan kalau tidak, agama laksana puing-puing saja. 
Nabi Syu’ib mengetahui bahawa kaumnya mengejeknya kerana mereka  menganggap agama tidak turut campur dalam kehidupan sehari-hari.  Namun, beliau menghadapi semua itu dengan penuh kelembutan dan  kasih sayang kerana beliau yakin apa yang beliau bawa adalah kebenaran.  Beliau tidak peduli dengan ejekan mereka dan tidak tersinggung  dengannya dan tidak mempersoalkan hal itu; beliau memberi pengertian  kepada mereka bahawa beliau berada di atas kebenaran dari Tuhannya;  beliau adalah seorang nabi yang mengetahui kebenaran; beliau tidak  melarang mereka untuk meninggalkan sesuatu yang di balik larangan itu  mendatangkan keuntungan peribadi buatnya; beliau tidak ingin  menasihati mereka dalam kejujuran agar pasar menjadi sepi dan  kerananya beliau mengambil manfaat; beliau hanya sekadar seorang nabi  di mana dakwah setiap nabi tergambar dalam ungkapan yang singkat: 
"Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku  masih berkesanggupan. " (QS. Hud: 88) 
Yang beliau inginkan hanya al-Islah (usaha membuat perbaikan).  Demikianlah kandungan dan inti dakwah para nabi yang sebenarnya.  Mereka adalah al-Muslihun, yaitu orang-orang yang membuat perbaikan;  mereka memperbaiki akal, memperbaiki hati dan memperbaiki  kehidupan yang umum dan kehidupan yang khusus: 
"Syu’ib berkata: 'Hai kaumku, bagaimana fikiranku jika aku  mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku  dari-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)?  Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan)  apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan)  perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik  bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah  bertawakal dan hanya kepada-Nya-lah 
aku kembali.'" (QS. Hud: 88) 
Setelah Nabi Syu’ib menjelaskan tujuan-tujuannya kepada mereka dan  menyingkapkan kebenaran dakwahnya, beliau mulai mengotak-atik akal- akal mereka; beliau mengungkapkan kepada mereka bagaimana  pergelutan orang-orang sebelum mereka dengan para nabi sebelumnya,  yaitu kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh, dan kaum Nabi  Luth yang masa mereka tidak jauh dengan masa Nabi Syu’ib. Beliau mulai  berdialog dengan mereka dan mengingatkan mereka bahawa sikap  penentangan mereka justru akan mendatangkan seksaan bagi mereka.  Nabi Syu’ib mengingatkan mereka bagaimana nasib orang-orang yang  mendustakan kebenaran: 
"Hai kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan  kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab  seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Saleh,  sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) dari kamu. Dan  mohonlah ampun dari Tuhanmu kemudian bertaubatlah kepada- Nya,sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. "  (QS. Hud: 89-90) 
Usai Nabi Syu’ib berdakwah kepada Allah s.w.t dan menjelaskan al-ishlah  (usaha memperbaiki masyarakat) dan mengingatkan mereka bahaya  penentangan serta menakut-nakuti mereka dengan menceritakan kembali  seksaan yang diterima orang-orang yang berbohong sebelum mereka.  Meskipun demikian, Nabi Syu’ib tetap membukakan pintu pengampunan  dan pintu taubat bagi mereka. Beliau menunjukkan kepada mereka kasih  sayang Tuhannya Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Namun kaum  Nabi Syu’ib memilih azab. Kekerasan hati mereka dan keinginan mereka  untuk mendapatkan harta yang haram serta rasa puas dengan sistem yang  mengatur mereka, semua itu menyebabkan mereka menolak kebenaran: 
"Mereka berkata: 'Hai Syu’ib, kami tidak banyak mengerti tentang apa  yang kamu katakan itu.'" (QS. Hud: 91) 
Kami tidak memahamimu. Engkau adalah seorang yang mengacau;  engkau mengatakan sesuatu yang tidak dimengerti: 
"Dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang  lemah di antara kami." (QS. Hud: 91) 
Beliau dikatakan sebagai orang yang lemah kerana orang-orang fakir dan  orang-orang yang menderita adalah orang-orang yang beriman padanya,  sedangkan orang-orang kaya dan para pembesar telah menentang  mereka. Demikianlah pertimbangan umumnya manusia yang tidak  memiliki kekuatan cukup untuk menghadapi kebenaran dakwah Nabi  Syu’ib di mana beliau dianggap sebagai orang yang lemah: 
"Kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami akan  merejammu."(QS. Hud: 91) 
Seandainya kalau bukan kerana keluargamu dan kaummu dan orang-orang  yang mengikutimu nescaya kami akan menggali suatu lubang dan kami  akan bunuh kamu di lubang itu dengan cara melempari kamu dengan  batu: 
"Sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami."  (QS. Hud: 92) 
Kaum Nabi Syu’ib berpindah dari cara mengejek pada cara menyerang.  Nabi Syu’ib telah menyampaikan bukti kepada mereka setelah mereka  mengejeknya, lalu mereka mengubah cara mereka berdialog. Mereka  memberitahunya bahawa mereka tidak memahami apa yang beliau  katakan dan mereka melihat bahawa Nabi Syu’ib sebagai orang yang  lemah dan hina. Dan seandainya kalau bukan kerana mereka takut  (kasihan) 
kepada keluarganya nescaya mereka akan membunuhnya. Mereka  menampakkan kebencian kepada Nabi Syu’ib dan ingin sekali untuk  membunuhnya kalau bukan kerana alasan-alasan yang berhubungan  dengan keluarganya. Menghadapi ancaman itu, Nabi Syu’ib tetap  menunjukkan sikap lembutnya lalu beliau bertanya kepada mereka  dengan maksud untuk menggugah ke sekian kalinya akal mereka: 
"Syu’ib menjawab: 'Hai kaumku, apakah keluargaku lebih terhormat  menurut pandanganmu daripada Allah. " (QS. Hud: 92) 
Apakah cukup rasional jika mereka membayangkan hal tersebut? Mereka  melupakan hakikat kekuatan yang mengatur alam. Sesungguhnya hanya  Allah s.w.t Yang Maha Mulia dan Maha Kuat. Seharusnya mereka  mengingat hal itu; seharusnya seseorang tidak takut kepada apapun  selain Allah s.w.t dan tidak membandingkan kekuatan di alam wujud ini  dengan kekuatan Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t Yang Kuat dan hanya Dia  yang mengatur hamba-hamba-Nya. 
Tampak bahawa kaum Nabi Syu’ib mulai kesal dan semakin kesal  dengannya, lalu berkumpullah para pembesar kaumnya: 
"Pemuka-pemuka dari kaum Syu'ib yang menyombongkan diri  berkata: 'Sesungguhnya kami akan mengusir kamu hai Syu’ib dan  dengan orang-orang yang beriman bersamamu dari kota kami, kecuali  kamu kembali kepada agama kami.'" (QS. al-A'raf: 88) 
Mereka menggunakan tahap baru dengan cara mengancam Nabi Syu’ib;  mereka mengancamnya untuk membunuh dan mengusir dari desa  mereka; mereka memberi pilihan kepada Nabi Syu’ib antara terusir dan  kembali kepada agama mereka yang menyembah pohon-pohon dan  benda-benda mati. Nabi Syu’ib memberitahu kepada mereka bahawa  masalah kembalinya ia ke agama mereka adalah masalah yang tidak  berhubungan dengan masalah-masalah yang disebutkan dalam perjanjian.  Sungguh Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau dari agama mereka lalu  bagaimana beliau kembali lagi padanya? Beliau yang mengajak mereka  pada agama tauhid lalu bagaimana beliau mengajak mereka untuk  kembali pada kesyirikan dan kekufuran? Beliau mengajak mereka dengan  cara yang lembut dan kasih sayang sementara mereka 
mengancamnya dengan kekuatan. 
Demikianlah pertentangan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya semakin  berlanjutan. Nabi Syu’ib memegang amanat dakwah untuk menghadapi  para pembesar, para pendusta, dan para penguasa kaumnya. Akhirnya,  Nabi Syu’ib mulai mengetahui bahawa mereka tidak lagi memiliki  harapan kerana mereka telah berpaling dari Allah s.w.t: 
"Sedang Allah kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu?  Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku meliputi apa yang kamu  kerjakan. Dan (dia berkata): 'Hai kaumku, berbuatlah menurut  kemampuanmu, sesungguhnya aku pun berbuat (pula). Kelak kamu  akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakannya  dan siapa yang berdusta. Dan tunggulah azab (Tuhan). Sesungguhnya  aku pun menunggu bersama kamu." (QS. Hud: 92-93) 
Nabi Syu’ib berlepas diri dari mereka. Mereka telah berpaling dari agama  Allah s.w.t bahkan telah mendustakan nabi-Nya dan menuduhnya bahawa  ia tersihir dan seorang pembohong. Maka, setiap orang hendaklah  melakukan apa saja yang diinginkannya dan hendaklah mereka menunggu  azab Allah s.w.t. Kemudian pergelutan antara Nabi Syu’ib dan kaumnya  berakhir adanya fasa baru. Mereka meminta kepada Nabi Syu’ib untuk  mendatangkan azab dari langit jika beliau termasuk orang-orang yang  benar. Dengan nada mencabar dan menentang, mereka berkata: "di  mana azab itu, di mana seksaan yang dijanjikan itu? Mengapa terlambat  datang?" 
Mereka mengejek Nabi Syu’ib dan beliau dengan tenang menunggu  datangnya azab Allah s.w.t. Allah s.w.t mewahyukan kepada beliau agar  keluar bersama orang-orang mukmin dari desa tersebut. Akhirnya, Nabi  Syu’ib keluar bersama para pengikutnya dan datanglah azab Allah s.w.t: 
"Dan tatkala datang azab Kami. Kami selamatkan Syu’ib dan orang- orang yang beriman bersama-sama dengan dia dengan rahmat dari  kami, dan orang-orang lalim dibinasakan oleh satu suara yang  mengguntur, lalu jadilah mereka mati bergelimpangan di rumahnya.  Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah,  kebinasaan bagi penduduk Madyan sebagaimana kaum Tsamud telah  binasa." (QS. Hud: 94-95) 
Ia adalah teriakan sekali saja satu suara yang datang kepada mereka dari  celah-celah awan yang menyelimuti. Mula-mula mereka barangkali  bergembira kerana membayangkan itu akan membawa hujan tetapi  mereka dikejutkan ketika datang kepada mereka seksaan yang besar  pada hari yang besar. 
SUMBER